MEI 2025

Totalenergies Bantu Projek CCUS


PARIS: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mengetuai rombongan pegawai tertinggi Sarawak, hari ini mengadakan sesi perbincangan dengan pegawai ekskutif TotalEnergies di ibu pejabat globalnya di sini.

Perbincangan itu mencerminkan komitmen bersungguh-sungguh Kerajaan Sarawak dalam sesi libat urus dengan pemimpin industri di peringkat antarabangsa dalam membangunkan tenaga diperbaharui dan pelaburan mampan.

Pada sesi itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak mengetengahkan potensi Sarawak dalam tenaga diperbaharui terutama dari sumber tenaga hidro yang berupaya menjana 20 gigawatts tenaga.

Beliau turut berkongsi inisiatif sedia ada Sarawak membangunkan tenaga diperbaharui khususnya kejayaan melaksanakan projek perintis tenaga solar 50 megawatt di Batang Air dan usaha berterusan Sarawak menerokai peluang dalam biotenaga, biomass dan kemampanan pengeluaran hidrogen.

Ketua Penyelaras Pembangunan Perniagaan, Pembaharuan Daratan, Thibaut Toulemonde yang mewakili TotalEnergies, mengetengahkan matlamat sasaran syarikat dalam tenaga diperbaharui di peringkat global.

Beliau memaklumkan TotalEnergies dalam kedudukan muncul sebagai salah satu daripada lima pengeluar tenaga diperbaharui di dunia menjelang 2030 yang disokong tenaga solar, angin dan penyelesaian penyimpanan berjumlah 97GW – 62GW yang sedang dibangun.

TotalEnergies juga giat terlibat dalam memajukan hidrogen dan projek perangkap, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di peringkat global.

Kedua-dua pihak mengenal pasti beberapa kepentingan bersama terutama dalam tenaga hidro, tenaga solar, pengeluaran hydrogen dan potensi inisiatif CCUS.

Awang Tengah menyatakan kesediaan Sarawak untuk membangunkan CCUS terutama di wilayah Bintulu.

Hasil rundingan itu termasuk melantik InvestSarawak – agensi yang menggalakkan pelaburan di Sarawak, untuk menjayakan semua bidang yang berkaitan.

Ini termasuk lawatan penyelarasn TotalEnergies ke Sarawak pada bulan akan datang.

Menghargai lawatan TotalEnergies ke Sarawak terdahulu, Awang Tengah mengalu-alukan syariakt terbabit mengadakan lawatan susulan dan meneruskan penyelarasan.